Perwira JMM buat laporan polis

Posted on Posted in Berita Negeri, Berita Semasa
photo_2017-06-21_10-55-04
MUHAMMAD AZLAN ABUK BAKAR (tengah) menunjukkan laporan polis dibuat di ibu Pejabat Polis Pataling Jaya, Selangor.

KUALA LUMPUR 19 Jun – Perwira Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan empat individu yang didakwa mempunyai kaitan dalam isu samam sivil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) terhadap syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketuanya, Muhammad Azlan Abu Bakar berkata, empat individu terbabit ialah pengasas Sarawak Report, Clare R. Brown; ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa,  dan aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel yang didakwa berkonspirasi dengan DoJ bagi menjatuhkan kredibiliti negara dan pemimpin kerjaan, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selain cuba menggugat ekonomi negara.

“Keempat-empat individu tersebut dilihat sengaja mencetuskan kontroversi dengan niat meracuni pemikiran rakyat di negara ini mengenai 1MDB, sekali gus berusaha menggulingkan kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Saya percaya mereka telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 499/500 serta Seksyen 120A dan 120B Kanun Keseksaan atas kesalahan membuat konspirasi. Saya juga percaya kesalahan mengikut Akta Hasutan 1948 juga dilakukan,” katanya selepas membuat laporan di ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini, hari ini.

Sebelum ini, DoJ membuat satu saman sivil berkaitan 1MDB bagi merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion), iaitu yang kedua dilakukan selepas kali pertama badan itu berbuat demikian pada Julai tahun lalu.

Dalam pada itu, Muhammad Azlan yang juga Ahli Parlimen Belia Negara turut menyatakan, semua dakwaan DoJ terhadap 1MDB disifatkan sebagai tidak mempunyai merit dan merupakan pertuduhan kosong semata-mata.

Jelas beliau, agensi kehakiman AS itu sebelum ini pernah mengaku kelemahan pertuduhan dalam pemfailan kedua terhadap 1MDB.

“Pemfailan kedua ini dilihat bukan sesuatu yang baharu, malah adalah rentetan daripada kegagalan pemfailan pertama,” ujarnya.