Kepimpinan Parti Pribumi tidak telus – Azwanddin

Posted on Posted in Berita Semasa

KUALA LUMPUR 14 Jun – Kegagalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menjawab soalan berkenaan isu integriti daripada Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) jelas menunjukkan kepimpinannya tidak telus terhadap anggota parti sendiri.

datoazwndn

Jelasnya, PPBM sepatutnya berasa bangga kerana memiliki exco yang tidak gentar mengeluarkan pendapat walaupun berdepan dengan kepimpinan atasan, namun malangnya parti berkenaan mahu merujuk mereka ke Lembaga Disiplin untuk dikenakan tindakan tatatertib.

“Sudah menjadi lumrah anak muda berani ke hadapan mencari kebenaran, keberanian itu perlu disambut oleh pemimpin terbabit supaya dapat merungkai segala pertanyaan yang bermain di fikiran ahli akar umbi.

“Isunya mudah sahaja, hanya melibatkan perkara-perkara integriti namun kegagalan untuk menjawab memberi persepsi jelas kepada masyarakat bahawa PPBM bukanlah sebuah parti yang telus,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan dua Exco Armada PPBM iaitu Muhammad Hafiz Azhar dan Mohamad Taufik Abas membidas kepemimpinan kanan parti tersebut selepas enggan melayan pertanyaan yang dilemparkan anggota akar umbi berkenaan kekayaan luar biasa anak-anak Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad selain skandal berkenaan Nika Ghee.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, tindakana bersifat ‘gelabah’ yang diambil PPBM untuk merujuk salah seorang exco Armada ke Lembaga Disiplin menunjukkan parti berkenaan cakap tidak serupa bikin.

Katanya, sebelum ini mereka heboh memperkatakan tentang keburukan UMNO iaitu sebuah parti yang begitu banyak membantu orang Melayu, namum kini apa yang jelas terpampang adalah demokrasi sudah mati di dalam PPBM di mana akar umbi perlu mengikut telunjuk tanpa boleh bersuara.

“Keterbukaan Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerima keteguran akar umbi semakin menyempit nampaknya, PPBM sudah menjadi tidak relevan lagi dalam politik Malaysia.

“Justeru, saya menyeru rakyat menolak jauh parti ini kerana agenda politiknya tidak lebih daripada mahu memperjuangkan kepentingan peribadi,” katanya.