JMM gesa polis siasat empat individu

Posted on Posted in Berita Semasa
IPDSuaram2017
AZWANDDIN HAMZAH bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis mengenai empat individu dipercayai berkomplot dengan DoJ di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 16 Jun – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadaoa empat individu kerana dipercayai berkomplot degan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) untuk menjatuhkan kerajaan berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui satu rencana dilaporkan portal berita, Malaysia Today hari ini.

Presidennya, Datuk Azwanddin Hamzah berkata, empat individu tersebut adalah pengasas dan pengendali Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown; peguam, Matthias Chang; Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa dan Cynthia Gabriel yang juga merupakan pengurusan kanan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Menurut beliau, portal terbabit mendakwa, keempat-empat individu terbabit membuat laporan mengenai penyelewengan 1MDB kepada DoJ sehingga pihak terbabit telah campur tangan dengan menfailkan dua tuntutan saman sivil berkaitan isu tersebut.

Jelasnya, ini bukanlah kali pertama pihak terbabit cuba melakukan provokasi terhadap kerajaan kerana sebelum ini keempat-empat individu tersebut merupakan dalang ke atas isu pembelian kapal selam Scorpene dan Bersih.

“Daripada rencana tersebut, kita dapati keempat-empat individu tersebut telah merancang bersama beberapa individu tertentu di DoJ dengan cara menyebarkan perkara tidak benar untuk meracuni fikiran rakyat.

“Oleh itu, siasatan dan tindakan tegas perlu dilakukan kerana pihak tersebut boleh dikatakan tali barut negara. Mereka tidak henti membuat fitnah bagi menimbulkan ketegangan dan memberi imej buruk kepada negara,” katanya kepada pemberitadi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Azwanddin bersama lebih 20 ahli JMM tiba di IPD Dang Wangi di sini kira-kira pukul 3 petang sebelum membuat laporan selama 30 minit.

Tambah beliau, pihaknyua berharap kerajaan mengambil tindakan tegas dengan melucutkan kerakyatan mereka yang bersekongkol dengan negara asing.

“Setiap tahun ada sahaja yang cuba ditimbulkan terutama menjelang pilihan raya. Jika sudah tidak berminat menjadi rakyat Malaysia, mereka boleh keluar dari negara ini,” ujarnya.