Demi Amer Deedat

Posted on Posted in Berita Semasa
Amer Deedat
WALAU sesibuk mana sekalipun, Azwanddin Hamzah akan meluangkan masa untuk melayan anaknya, Amer Deedat setiap hari.

WALAUPUN baru pertama kali bersua muka, ketibaan penulis di ibu pejabat Jaringan Melayu Malaysia (JMM) di Pandan Indah, Kuala Lumpur, disambut dengan mesra oleh presiden dan pengasas pertubuhan itu, Datuk Azwanddin Hamzah.

Sebaik memasuki pejabat beliau, penulis tertarik dengan potret Marlon Brando, Robert De Niro dan Al Pacino ketika berlakon dalam filem The Godfather yang tergantung di dinding. Rupa-rupanya, Azwanddin amat meminati filem mafia itu yang berasaskan novel The Godfather karya Mario Puzo.

Beliau boleh bercerita secara terperinci jalan cerita filem The Godfather dan sekuelnya. Malah, beliau dapat mengingati watak-watak dalam filem tersebut terutamanya ketua mafia, Vito Corleone dan anaknya, Michael Corleone.

“Meskipun gengster, mereka sangat menjaga kebajikan ahli. Aspek itulah yang saya suka tentang filem tersebut. Kita di JMM pun mahu melakukan yang terbaik bagi menjaga kebajikan ahli,” ujarnya.

Azwanddin merupakan antara pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang popular dan sering muncul di dada akhbar serta kaca televisyen. Beliau bukan sekadar menjuarai isu politik, malah isu rakyat termasuklah yang sedang hangat sekarang iaitu percambahan premis judi haram di Selangor yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

“Di sekeliling kawasan di bawah pejabat ini dahulu pun banyak kedai judi haram. Tapi selepas kita dedahkan dan bawa wartawan sekali, semua sudah ditutup. Tapi mereka buka di kawasan lain,” katanya.

JMM yang bermula dengan nama Jaringan Melayu Muda pada 2008 didaftarkan sebagai Jaringan Melayu Malaysia pada 10 November 2010. Pertubuhan itu kini mempunyai cawangan di seluruh Semenanjung dengan 9,000 orang ahli.

Pertubuhan itu juga mempunyai pasukan bola sepak sendiri iaitu JMM FC yang merupakan Juara Liga KLFA, studio muzik bagi melatih anak muda dan bakal menubuhkan radio atas talian NTH Radio. NTH adalah singkatan kepada Nothing to Hide dan saluran radio itu akan memberikan tumpuan terhadap isu-isu rakyat.

Selain aktiviti berkaitan JMM, Azwanddin dan isterinya, Datin Norainon Wan Fadzil aktif dalam program amal dan komuniti melibatkan pesakit cerebral palsy (CP), iaitu kecacatan otak yang melibatkan fungsi sistem otak serta saraf yang mengendalikan gerakan, belajar, penglihatan, pendengaran dan berfikir. Ia merupakan antara penyakit paling teruk dalam kategori orang kelainan upaya (OKU).

Memperjuangkan anak CP

Setiap minggu, Azwanddin akan meluangkan masa menziarahi dan meraikan penghuni wad CP di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Kadang-kadang pada setiap hujung minggu dan ada masanya pada hari biasa.

“Ada beratus-ratus orang anak CP di HKL. Sebahagiannya dibuang oleh keluarga. Saya tidak dapat membayangkan ada keluarga sanggup membuang anak CP walaupun mengetahui ia adalah satu penyakit yang teruk. Anak CP tidak boleh menguruskan diri sendiri dan perlukan penjagaan penuh sepanjang hayat,” katanya yang juga Timbalan Presiden Kumpulan Sokongan Anak-anak CP HKL.

Norainon pula menjadi sukarelawan mengendalikan program terapi berkuda untuk anak-anak cacat di beberapa lokasi Ampang pada setiap hujung minggu. Terapi diberikan secara percuma kepada keluarga yang mempunyai anak cacat dan ia adalah hasil sumbangan korporat.

Namun, cerita tentang penglibatan Azwanddin dan isteri dalam program amal itu tidak banyak diketahui umum. Ini kerana beliau memang sengaja tidak mahu ia mendapat liputan media dan menjadi hebahan umum.

Hanya orang terdekat dan dalam persekitaran itu yang mengetahui dan ia mungkin cuma disebarkan dari mulut ke mulut.

Sebenarnya, ada sebab kenapa Azwanddin tidak mahu aktiviti itu dihebahkan. Ini kerana Azwanddin sendiri mempunyai anak yang menghidap CP. “Namun saya tidak mahu mencari publisiti atas penyakit anak saya dan anak-anak CP,” katanya.

Menurut Azwanddin, anak sulungnya, Amer Deedat yang dinamakan sempena pendakwah terkenal dari Afrika Selatan, Allahyarham Ahmad Deedat, dilahirkan normal tetapi menghidap CP selepas mengalami kecederaan otak akibat terjatuh ketika dalam jagaan pengasuh semasa masih bayi.

Selain Amer yang kini berusia 16 tahun, Azwanddin mempunyai tiga orang lagi anak yang masing-masing berusia 14 tahun, 10 tahun dan lapan tahun.

“Kami sekeluarga panggil Amer Deedat sebagai ‘abang’. Dia adalah anak yang paling saya sayang. Disebabkan ‘abang’ juga, saya menyayangi anak-anak CP yang lain dan dia menguatkan semangat saya untuk terus memperjuangkan nasib anak-anak CP,” ujarnya.

Pada peringkat awal, apa yang berlaku ke atas Amer Deedat banyak menuntut kesabaran dan ketabahan Azwanddin dan isteri untuk menerima hakikat tersebut, apatah lagi Amer Deedat adalah anak pertama mereka.

“Selepas ‘abang’ disahkan menghidap CP, isteri tidak bercakap dengan saya selama tiga bulan. Mungkin dia berasa bersalah kerana saya bekerja dan dia pun bekerja. Dia terus berhenti kerja selepas ‘abang’ sakit.

“Kami telah mencuba pelbagai jenis rawatan di seluruh Malaysia untuk mengubati ‘abang’. Saya sampai ke tahap berhutang hendak selesaikan masalah anak saya ini. Akhirnya, kami terima hakikat bahawa rawatan terapi di hospital adalah yang terbaik untuk ‘abang’,” kata Azwanddin.

Menurut Azwanddin, disebabkan Amer Deedat, hubungannya sekeluarga menjadi rapat. “Sebab dia, saya, isteri dan anak-anak yang lain ada kepentingan bersama. Kami bekerjasama menguruskan ‘abang’. Kalau hendak marah pun, apabila tengok ‘abang’ terus jadi sejuk,” ujarnya.

Tambah beliau, isterinya juga merupakan tulang belakangnya dan penguat semangat dalam perjuangan. “Saya hargai pengorbanan isteri saya. Saya sangat menyayanginya. Semasa baru tubuhkan JMM, isteri saya gadaikan barang kemas supaya saya dapat buka pejabat JMM,” katanya.

Pengalaman 
di sekolah Cina

Dalam pada itu, mungkin ramai tidak mengetahui Azwanddin boleh bertutur dan membaca bahasa Mandarin dengan fasih. Disebabkan kebolehannya itu, beliau dilantik sebagai konsultan bagi pihak kerajaan dalam projek China Railway Construction Corporation (CRCC) di Malaysia.

Beliau mendapat pendidikan sekolah Cina dari prasekolah sehingga sekolah menengah. Daripada tujuh adik-beradiknya, hanya Azwanddin yang merupakan anak keempat dihantar ke sekolah Cina manakala adik-beradiknya yang lain mendapat pendidikan di sekolah kebangsaan.

Malah, Azwanddin juga melanjutkan pengajian dalam bidang perniagaan di sebuah universiti di Kanada menerusi kuota sekolah aliran Cina.

“Saya pernah tanya ibu saya kenapa hantar saya ke sekolah Cina. Dia cakap sebab saya yang pilih sekolah Cina. Masa usia lima tahun, manalah saya tahu apa itu sekolah Cina. Tapi saya berterima kasih kepada ibu bapa saya kerana menghantar ke sekolah Cina kerana ia telah membentuk pemikiran yang berbeza,” katanya.

Azwanddin mendapat pendidikan awal di Tadika Lee Rubber dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lee Rubber di Batu 6, Jalan Gombak, Kuala Lumpur. Beliau bersekolah menengah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chong Hwa di Setapak, Kuala Lumpur.

Sepanjang enam tahun belajar di SJKC Lee Rubber, Azwanddin mempunyai pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Guru besar sekolah yang dikenali sebagai Encik Wee, sangat sensitif dengan agama muridnya terutama bab makanan.

Memandangkan pada masa itu, hanya terdapat tiga orang murid bukan Cina di sekolah tersebut, maka kantin sekolah tidak menyediakan makanan yang halal.

“Bayangkan setiap hari selama enam tahun, beliau uruskan kami dengan membelanja kami makan roti canai di restoran India Muslim pada waktu rehat.

“Beliau juga mengadakan kelas tambahan Bahasa Mandarin kepada kami setiap hari sehingga kami mahir. Saya fikir sukar untuk jumpa seorang guru seperti itu pada zaman sekarang,” ujarnya.

Leave a Reply