Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia

Cermin diri sebelum mahu jadi PM semula

Posted on Posted in Berita Semasa

KUALA LUMPUR 3 Jun – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu terlebih dahulu cermin dan sedar diri sebelum menanam cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri semula.

azwanddinJMMmuzik
AZWANDDIN HAMZAH

Presiden Jaringan Me­layu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah mahu Dr. Mahathir merenung kembali apa yang dibuat beliau ketika menjadi Perdana Menteri keempat selama 22 tahun sejak 1981.

“Dr. Mahathir dalam tempoh lebih dua dekad itu telah mengakibatkan negara, barisan kepemimpinan dan masyarakat hari ini terpaksa menanggung segala ‘penyakit’ berpunca daripada tindakan beliau dahulu.

 “Mungkin faktor usia juga menyebabkan Dr. Mahathir lupa kata-katanya yang sering diucapkan dahulu bahawa usaha memberikan lebih banyak ruang dan peluang untuk golongan muda dalam barisan kepimpinan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin. Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam satu sesi soal jawab yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebooknya mengakui bahawa beliau berkemungkinan terpaksa mempertimbangkan menjadi Perdana Menteri semula sekiranya itu yang dimahukan oleh kepemimpinan Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Pengakuan Dr. Mahathir itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai calon Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan memandangkan Konvensyen Nasional PKR bulan lalu telah membuat penegasan mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ketujuh jika Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya.

DR. AIDITGHAZALI
DR. AIDIT GHAZALI

Sementara itu, penganalisis politik, Datuk Aidit Ghazali berkata, Dr. Mahathir sebenarnya membaling bola semula kepada Pakatan Harapan bagi melawan balik tindakan barisan kepemimpinan pakatan pembangkang yang tidak memilihnya sebagai bakal Perdana Menteri.

Katanya, mereka yang mengenali Dr. Mahathir akan mengetahui sikap Pengerusi PPBM itu yang bijak mewujudkan rasa dilema terhadap mana-mana pihak yang boleh memberi manfaat atau faedah kepada dirinya.

“Dr. Mahathir memang tidak akan jadi pengikut jadi beliau berusaha menjadikan PPBM sebagai parti alternatif orang Melayu dalam Pakatan Harapan, namun gagal kerana masyarakat memang tidak boleh menerima beliau dan parti tersebut.

“DAP dan PKR menyedari mengenai perkara itu serta menyesal kerana menjemput PPBM menyertai Pakatan Harapan, justeru mereka perlu memberi tanda kepada Dr. Mahathir bahawa PPBM tidak diperlukan.

“Atas sebab itu, Dr. Mahathir perlu bersilat dengan DAP dan PKR supaya memilihnya sebagai Perdana Menteri atau meneruskan ketetapan mahukan Anwar,” katanya.

Leave a Reply