Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia

B57, produk sukan 
bercirikan kemerdekaan

Posted on 345 CommentsPosted in Berita Semasa, Berita Sukan
b57utusan
AZWANDDIN HAMZAH (kanan) dan Mohamad Norza Zakaria (dua dari kiri) menyampaikan anugerah khas kepada Elyas Omar (tengah) dan bekas pemain bola sepak Kuala Lumpur, Subadron Aziz (dua dari kanan) baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 3 April – Pengerusi Brand 57 (B57), Datuk Azwanddin Hamzah percaya dengan adanya produk sukan yang bercirikan kemerdekaan mampu memupuk semangat patriotik dalam kalangan peminat sukan di negara ini.

Azwanddin berkata jenama B57, yang diambil bersempena tahun kemerdekaan negara iaitu pada 1957, telah dihasilkan dengan kerjasama beberapa institusi sukan dan universiti awam untuk memastikan produk keluaran mereka setaraf dengan jenama keluaran antarabangsa.

“Kami akan memastikan jenama yang dikeluarkan selepas ini setaraf dengan produk keluaran antarabangsa. Kami sudah mempunyai beberapa perancangan dengan UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan kami akan bekerjasama dengan mereka.

 “Dalam negara kita ini ada beberapa tempat yang kita boleh adakan kerjasama seperti UiTM dan institusi berkaitan peralatan sukan. Jadi, kami ke arah itu. Selain memperkenalkan produk untuk kegunaan sukan, kami juga mahu menerapkan semangat 57 ini pada setiap hari bukannya sekali setahun,” katanya kepada pemberita.

Azwanddin ditemui dalam Majlis Penyerahan Penajaan Jersi B57 kepada 50 kelab bola sepak yang terpilih di Kuala Lumpur dan penyampaian Anugerah Emas Khas B57 yang diberikan kepada Tan Sri Elyas Omar di sini pada Sabtu lalu.

Turut hadir Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, Ketua Pegawai Eksekutif B57, Hamdan Mohd. Salleh dan Setiausaha Bekas Pelajar Alumni St John, Mohd, Razif Yusof.

Dalam pada itu, Azwanddin memberitahu produk B57 akan dirasmikan secara besar-besaran pada Ogos ini malah pihaknya turut mempunyai perancangan untuk memasarkan jenama tersebut keluar negara.

“Kami mengeluarkan peralatan sukan dan buat masa sekarang pakaian bola sepak dahulu. Sudah pasti kita ada perancangan untuk memasarkan produk di dalam negara selepas majlis pelancaran pada Ogos ini. Ini hanya pra pelancaran sahaja.

“Perancangan untuk eksport ke luar negara sudah pasti ada. Kami akan mengeksport produk kami ke Indonesia dan Thailand. Bali FC, kelab bola sepak Indonesia akan menggunakan produk kami dengan mengikat kontrak selama tiga tahun,” katanya.